Jasa pegawai Piala Presiden Perak selamatkan karier Shahrel Fikri 

Oleh Shaiful Shamsudin 8 Januari 2021 2671
 Jasa pegawai Piala Presiden Perak selamatkan karier Shahrel Fikri 
Jiwa kental untuk bergelar pemain profesional menjadi azimat buat Shahrel Fikri Md Fauzi biarpun kariernya pernah digugat dengan masalah injap jantung. 

Pada 2012, penyerang itu digugurkan dalam pemilihan ke Harimau Muda selepas masalah tersebut dikesan dalam ujian kesihatan Majlis Sukan Negara (MSN). 

"Bahaya terhadapnya. Kami tidak mahu ambil risiko dan terpaksa lepaskan beliau dalam senarai pemain yang terpilih.

"Saya menasihatinya supaya dapatkan rawatan lanjut apabila balik ke Perak kelak," kata bekas jurulatih Harimau Muda B, Razip Ismail. 

Lantas, berita itu membuatkannya termenung memikirkan 'aku tak boleh main bola lagi dah' tetapi ibunya membantahnya daripada menjalani pembedahan.

"Dia hampir melakukan pembedahan jantung, tapi tidak jadi selepas mendengar pesanan saya," kata ibunya. 





Namun, tindakan pengurusan pasukan Piala Presiden Perak untuk tidak menutup pintu memberi peluang kedua kepada penyerang kebangsaan tersebut --  sempat bekerja sebagai anggota keselamatan bagi membantu keluarganya selepas itu.

"Kami ajak dia melakukan satu lagi ujian perubatan di Ipoh dan jika gagal juga, memang ditakdirkan dia tidak boleh lagi bermain bola sepak." kata pengurus Piala Presiden, Rizal Naizali. 

Jurulatih, Shamsul Saad, yang bertanggungjawab mengendali pasukan itu pada 2012 hingga 2014, juga memberinya dorongan malah sedia menawarkan tempat buat Shahrel Fikri biarpun bertindak di belakang tabir. 

"Selepas ujian kedua keluar, saya ingat lagi Datuk Haris Chandran Abdullah memberitahu bahawa Shahrel Fikri mampu beraksi selama 5-6 tahun lagi. 

"Dia tidak akan rebah di atas padang. 

"Kemudian kami memintanya menandatangi satu surat yang bermakna (PAFA) Persatuan Bola Sepak Perak tidak akan bertanggungjawab sekiranya apa-apa berlaku kepada dia. 

"Kami arahkan pakar fisioterapi memberi perhatian ketika setiap kali Shahrel Fikri memecut, kejar bola. 

"Tindakan kami itu menyebabkan dia rasa (dapat beraksi) sampai sekarang. Mungkin itu perkara yang saya tidak akan lupakan. 

"Sebagai jurulatih dan bekas pemain, kami dah rasa yang susah senang. Saya berpeluang menyelamatkan kariernya, setiap kejayaannya saya berasa bersyukur," katanya pula.

Shahrel Fikri -- yang muncul sebagai penjaring tempatan terbanyak musim lalu dan memutuskan untuk memperkuatkan barisan Gergasi Merah pada musim ini -- terus mengorak langkah lebih panjang dalam kelangsungan kariernya. 

"Sebaik tahu boleh bermain, saya memeterai kontrak selama tiga tahun bersama Piala Presiden Perak.

"Selepas dilanda kecederaan selama tiga bulan, saya tidak menyangka diletakkan dalam kesebelasan utama ketika berdepan PDRM. Kami menang 5-0 dan saya pula menjaringkan hatrik. 

"Daripada situ saya beraksi dalam setiap perlawanan dan saya menjaringkan 10 gol dalam pusingan kedua untuk kami muncul juara Piala Presiden 2014," katanya. 


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen