Ifedayo puji Shahrel Fikri dalam perebutan Kasut Emas

Oleh Muzaffar Musa 11 Oktober 2020 4169
Ifedayo puji Shahrel Fikri dalam perebutan Kasut Emas
Penyerang Selangor, Ifedayo Olusegun, memuji penyerang Perak, Shahrel Fikri Fauzi, dalam perebutan Anugerah Kasut Emas Liga Super musim ini.

Ifedayo mencipta hatrik ketika pasukannya menewaskan Felda United 6-1 dalam perlawanan liga terakhir mereka di Shah Alam malam tadi.

Secara keseluruhan, penyerang berbangsa Nigeria itu telah mengumpulkan sebanyak 12 gol daripada 11 perlawanan musim ini -- bekelebihan dua gol berbanding Shahrel Fikri untuk menduduki tangga teratas.

Shahrel masih berpeluang untuk menambah koleksi jaringannya dalam perlawanan menentang Kedah di Ipoh malam ini.

Dia dilihat pesaing terbaik dalam perebutan anugerah penjaring terbanyak musim ini selain pemain Terengganu -- yang akan berdepan Pahang malam ini -- Dominique Da Sylva (8).

Mengulas mengenai perebutan itu, Ifedayo berkata kepada Astro Arena: "Anda dapat lihat Shahrel Fikri, dia sememangnya pemain yang hebat.

"Saya melihat rakaman permainannya dan posisinya untuk mendapatkan gol sememangnya amat hebat.

"Saya fikir Malaysia perlu berasa bertuah kerana mempunyai pemain seperti itu, yang mempunyai kebijaksanaan di depan gol.

"Bagi saya, jika dia tidak dapat memamatkan musim selaku penjaring terbanyak, dia layak menerima satu pengiktirafan sebagai seorang pemain tempatan yang mampu melakukan sejauh itu. Ia amat-amat menakjubkan," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen