Ia kontrak, bukan MOU -- FAS

Oleh Penulis Jemputan 3 November 2018 9183
Ia kontrak, bukan MOU -- FAS
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon, menegaskan kata sepakat di antara pihaknya dan ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, dua bulan lalu dimeterai menerusi kontrak yang sah dan bukan memorandum persefahaman (MOU) seperti yang digembar-gemburkan.

Kontrak yang ditandatangani Durakovic dua bulan lalu jelas menunjukkan bekas pengendali Selangor itu sah milik The Red Giants bagi musim 2019.

Menerusi pertemuan lebih daripada lapan kali selain usaha FAS memenuhi permintaan Durakovic untuk musim depan, pusingan 'U' daripada pengendali itu benar-benar mengelirukan FAS.

"Kami telah lama merancang dan telah menandatangani jurulatih itu.

"Kami telah mencuba mendapatkan pemain seperti yang dimahukannya dan apabila perkara ini berlaku minggu lepas, ia sememangnya menjejaskan perancangan kami," katanya.

Menerusi kontrak bernilai jutaan ringgit itu, FAS memiliki hitam putih untuk menuntut pampasan ke atas Durakovic dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

Namun, Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, memilih untuk tidak memanjangkan isu itu.

"Kami kurang jelas dan apabila kami menghubungi pemain-pemain yang dimahukan Mehmet, mereka berdolak-dalik untuk datang ke sini.

"Kami menghormati keputusan mereka walaupun kontrak telah tersedia untuk mereka tandatangani," tambah Dr. Johan.

Implikasi daripada pusingan 'U' Durakovic, FAS terpaksa bermula dari bawah untuk mencari pengganti yang akan memainkan peranan penting dalam pemilihan pemain musim depan.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen