Pemain Paling Bernilai 2016, Ahmad Hazwan Bakri, terpaksa melupakan hasrat untuk bergandingan dengan penyerang sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT), Jorge Pereyra Diaz, selepas dia sendiri membayangkan ketiadaan pemain itu bersama JDT musim hadapan.

Keterujaan Hazwan untuk bekerjasama dengan pemain kelahiran Argentina itu terpaksa dilupakan. Apa tidaknya, Hazwan sendiri membayangkan ketiadaan Diaz bersama JDT musim depan selain turut mengharapkan adanya kehadiran pemain baru yang mampu menyaingi kehebatan Diaz nanti.

Kelibat Diaz yang merupakan penerima Anugerah Kasut Emas Liga Super 2016 juga tidak kelihatan di majlis berkenaan dan hal itu menguatkan lagi khabar angin bahawa pemain itu sudah berpatah arang dengan JDT.

"Kemungkinan pada tahun akan datang ini, Diaz tiada dalam pasukan. Tetapi kami ada Martin Lucero dan mungkin seorang lagi pemain import baru.

"Bagi saya, mungkin tiada masalah, kami mungkin boleh cuba bersaing tanpa Diaz," kata pemain kelahiran Labuan itu.

Hazwan bakal menyarung jersi kelab impian ramai pemain bola sepak tanah air itu dengan turut membawa krebiliti cemerlang apabila muncul selaku penerima Anugerah Pemain Paling Bernilai dan Penyerang Terbaik 2016.

Tegas Hazwan, pengiktirafan semalam menguatkan lagi hasratnya untuk tampil lebih berkesan bersama JDT pada musim depan.

"Bukan calang-calang pemain yang bersaing dalam anugerah kali ini seperti Amri Yahyah yang boleh dianggap legenda.

"Tapi mungkin kali ini merupakan rezeki saya."