Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, tidak berganjak dengan keputusannya meletak jawatan.

Walaupun diberi tempoh 14 hari untuk memikirkan semula peletakan jawatannya itu, Hasnul berkata keputusan beliau adalah muktamad.

“Muktamad, tiada patah balik,” katanya kepada media ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Watikah Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Perak di Ipoh, hari ini.

Jawatankuasa Eksekutif PAFA yang bermesyuarat pada 13 November lalu sebulat suara menolak peletakan jawatan Hasnul dan memberi tempoh 14 hari kepada beliau untuk mempertimbangkan semula keputusannya.

Hasnul berkata beliau kekal dengan keputusan awal meletakkan jawatan berikutan nasihat daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, supaya tidak mempolitikkan PAFA dan bola sepak.

Di samping itu, keputusan itu juga demi PAFA dan pembangunan bola sepak Perak agar dapat diuruskan dengan baik tanpa sebarang isu.

“Barangkali jika saya kembali, ia akan menimbulkan isu lama semula, jadi ia akan menyebabkan fokus Jawatankuasa Eksekutif PAFA terganggu.

“Jadi, itulah sebab saya menetapkan keputusan saya dan seperti dimaklumkan dahulu, saya hendak memberi tumpuan kepada tugas-tugas sebagai Exco Kerajaan Negeri dan ahli politik,” ujarnya.

Hasnul berkata beliau telah memaklumkan keputusannya itu secara lisan kepada PAFA, Selasa lalu.

Ia akan disusuli dengan secara bertulis dalam masa terdekat.