Bekas tonggak kebangsaan, Asmawi Bakiri, menyarankan ketua jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, supaya memikirkan kaedah yang lebih efektif untuk menambah sengat pasukan Malaysia.

Dalam tiga perlawanan terakhir yang diharungi ketika bertemu Indonesia, Singapura dan yang terbaru menentang Afghanistan, skuad Harimau Malaysia hanya berjaya membolosi gawang lawan sekali menerusi Hadin Azman ketika mengikat Afghanistan 1-1 di Shah Alam.

Dalam perlawanan itu, Kim Swee mempertaruhkan gandingan Norshahrul Idlan Talaha dan Hazwan Bakri untuk menjana gerakan di bahagian depan.

Bagaimanapun, gandingan itu masih belum cukup meyakinkan kerana tiada gol dapat dihasilkan.

"Gandingan Norshahrul dan Hazwan ataupun dengan mana-mana penyerang lain bukanlah isu besar. "Ini kerana mereka memiliki pengalaman menjaringkan gol di peringkat antarabangsa," kata Asmawi.

Kali terakhir Hazwan menyumbat gol untuk pasukan negara adalah dalam kelayakan Piala Asia 2019 ketika menentang Timor-Leste, Jun lalu.

"Transisi pergerakan di bahagian tengah dan atas perlu diperbaiki. Pemain-pemain lain perlu mencipta peluang untuk penyerang," tambahnya.