Jurulatih Melaka United, Eric Williams, enggan meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap pencapaian skuad itu dalam Liga Malaysia musim depan selepas mengambil alih tugas Mat Zan Mat Aris awal bulan ini.

Jurulatih berusia 61 tahun kelahiran England itu berkata sebagai pendatang baru Liga Super, Melaka sebaiknya berusaha agar terus bertahan dalam liga dan pada masa yang sama membina satu pasukan kuat.

"Kami sebagai pendatang baru dalam Liga Super, jangkaan itu tidak harus terlalu tinggi. Sebaiknya fokus dengan usaha untuk terus berada dalam Liga Super," katanya ketika ditemui dalam sesi latihan di Stadium Kubu.

Williams mahu pemain lebih fokus dari segi teknik pengawalan bola selain mahu menerapkan semangat kerjasama sebagai satu pasukan.

Dia turut memberitahu skuad Hang Tuah itu akan mengadakan tiga perlawanan persahabatan sebelum bermulanya musim 2017.

Belum mengesahkan lawannya nanti, Williams berkata jika pihak pengurusan Melaka United Football Club (MUFC) bersetuju, perlawanan persahabatan tersebut akan diadakan di luar Melaka.

Dia turut menasihati pemain agar lebih kreatif dan bukannya bersifat negatif.

Katanya, apabila sudah berada dalam Liga Super, tekanan akan lebih hebat kerana penyokong hanya akan mengharapkan kemenangan.

Williams, bagaimanapun, yakin anak buahnya mampu menghadapi saingan Liga Super dengan baik.