Gergasi Merah tetap teruskan AGM esok

Oleh Staff Writer 14 Disember 2018 2745
Gergasi Merah tetap teruskan AGM esok
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon, menegaskan tiada sebab untuk menangguhkan kongres agung tahunan (AGM) badan induk itu esok biarpun masih belum ada keputusan rasmi daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS) berhubung kesahihan kongres luar biasa (EGM) yang lalu.

Jelas Dr. Johan, pihaknya tenang menantikan keputusan PJS tetapi itu tidak bermakna sebarang perancangan yang dilakukan perlu ditangguhkan gara-gara masih belum mendapat jawapan berhubung EGM terbabit. 

Sebarang penangguhan hanya akan menyebabkan segala persiapan pasukan itu turut tergendala dan mereka tidak akan membiarkan kemelut dalaman itu menjejaskan apa yang telah dirancang untuk musim depan. 

"Berdasarkan statut, FAS perlu meneruskan tugsan harian. Kami tidak boleh menangguh perkara yang perlu dilakukan. 

"Kami akan tetap meneruskan operasi kami dan laksanakan apa yang perlu seperti membuat persiapan skuad utama, pendaftaran pasukan, program pembangunan, termasuk majlis seperti hari ini.

"Kami tidak boleh hanya duduk dan tunggu," jelas Dr Johan. 

Beliau berkata demikian dalam satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan FAS  hari ini yang disaksikan oleh Presiden FAS, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kerjasama itu mengutamakan perkongsian kepakaran dalam aspek pembangunan bola sepak selain komitmen lebih mendalam kepada penyelidikan sains sukan dan perihal akademik pemain. 

"UiTM ingin bersama pasukan Selangor untuk memantapkan lagi prestasi bola sepak Selangor daripada segi fizikal mereka kerana kami mempunyai peralatan dan kepakaran dalam aspek kesihatan, jasmani dan mampu melakukan penyelidikan dalam bidang-bidang tertentu," kata Naib Cancelor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said. 

Sementara itu, jurulatih skuad Gergasi Merah, B. Sathianathan, turut mengumumkan bekas pemain Felda United, Wan Zack Haikal Wan Nor, dan bekas pemain PKNS FC, Nurridzuan Abu Hassan, sah bergelar pemain Selangor musim depan. 

Kedua-dua pemain itu mendapat kepercayaan Sathianathan untuk memperkuatkan bahagian sayap dan tengah Selangor selain khidmat pemain lincah Terengganu, Faiz Nasir, juga telah disambar untuk kempen musim depan.

"Saya yang pilih pemain-pemain ini kerana mereka gemar menyimpan bola, mereka mempunyai kemahiran yang tinggi. 

"Inilah pemain-pemain yang saya gemari untuk berada dalam pasukan ini," ujar jurulatih itu. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen