Pemangku jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner, beranggapan kemenangan besar ke atas PDRM dengan keputusan 7-0 adalah bukti barisan pemain sudah mampu menerapkan taktikal 'transition football' yang diperkenalkan.

Kejayaan itu sekaligus meletakkan skuad The Red Giants di kedudukan lebih selesa, daripada tangga kesembilan kini di tangga kelima terbaik liga dengan 14 mata.

"Saya gembira Selangor telah menjaringkan 10 gol dalam dua perlawanan. Saya menggemari permainan menyerang. Ia merupakan gaya permainan yang terbaik buat pasukan," kata Feichtenbeiner.

Pemain yang cemerlang dalam aksi antara PDRM-Selangor, Sean Selvaraj, berjaya melakar dua gol dan tiga bantuan jaringan.

Berpuas hati di sebalik peluang berakhir dalam tempoh 90 minit, ia merupakan perlawanan penuh pertama buat pemain itu bagi musim ini.

Ia sekaligus dapat mengembalikan keyakinan dan semangat untuknya membantu pasukan menghadapi perlawanan terakhir Liga Super menentang Felda United minggu depan serta Piala Malaysia yang akan bermula selepas tamat saingan liga.

"Saya berasakan telah membuktikan dahaga menghasilkan jaringan, ia terhasil daripada usaha dalam sesi latihan dan telah diterjemahkan dalam perlawanan ini," katanya.

"Semua mengetahui ini bukanlah kedudukan yang dimahukan Selangor dan kami akan terus bangkit selepas ini."