Pengendali PDRM, Fauzi Pilus, tetap bersikap positif untuk aksi hidup mati berdepan Sarawak di Kuching malam esok sekalipun kehilangan tiga tonggak utama ekoran kecederaan dan penggantungan perlawanan.

Tiga pemain terbabit ialah kapten, Safuwan Baharudin, pemain tengah, Latiff Suhaimi dan pertahanan, Faizal Muhamad.

Tatkala Safuwan dan Latiff digantung satu perlawanan, Faizal pula dibelenggu kecederaan.

Ia memaksa Fauzi merencana strategi baru, dengan pemain muda kini menjadi sandarannya untuk misi wajib menang bertemu skuad Ngap Sayot,.

"Kami akan membuat sedikit perubahan bagi mengimbangi pasukan.

"Apa yang tinggal, kami perlu meneruskan perjuangan, Insya-Allah kalau kami mengekalkan permainan seperti perlawanan sebelum ini, kemungkinan kami akan mendapat keputusan yang baik," katanya.

Sementara itu, penyerang The Cops, Fakrul Aiman Sidid, bertekad membantu pasukannya meraih kemenangan untuk kekal dalam Liga Super, musim depan.

Ia mungkin menjadi aksi terakhir pemain berusia 27 tahun dari Tumpat, Kelantan itu selepas dikhabarkan akan menyertai sebuah kelab gergasi tempatan pada 2017.

"Saya tidak boleh memberi komen tentang perkara itu melainkan fokus dengan perlawanan terakhir.

"Insya-Allah kami akan buat yang terbaik," katanya.