Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) hari ini membuat kejutan apabila melantik Datuk Hanifah Hajar Taib-Alsree, 44 tahun, sebagai penasihatnya berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan itu mengesahkan desas-desus kebelakangan ini yang mengatakan seorang wanita akan dilantik mengetuai persatuan itu selepas ketiadaan nakhoda sejak September lalu.

Menurut Pemangku Presidennya, Abdul Wahab Rahim, pelantikan Hanifah sebagai penasihat telah dipersetujui dan disahkan oleh mesyuarat hari ini dan ia merupakan yang pertama dihadirinya.

“Kami berharap beliau dapat membimbing kami dalam memastikan sukan bola sepak di negeri ini dapat memenuhi kehendak peminatnya,” katanya.

Sebelum ini, beberapa nama seperti Abdullah Saidol dan Gerald Rentap Jabu diuar-uarkan sebagai presiden baharu persatuan itu, namun Abdullah menolak kerana komitmennya sebagai ketua setiausaha politik kepada Ketua Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Semop.

Hanifah, yang juga anak bongsu Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, merupakan seorang yang aktif dan giat menjalankan aktiviti kebajikan di negeri itu, terutama sebagai pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Sarawak (PERKIS), yang diwarisinya daripada ibunya, Allahyarham Puan Sri Laila Taib.

Selain memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Kristal Harta Sdn Bhd yang memiliki radio swasta Cats FM , Hanifah juga merupakan pengarah di 16 syarikat dan pemegang saham di 90 syarikat lain di negara ini.

Di Australia, Hanifah merupakan pemegang saham utama Sitehost Pty Ltd, yang memiliki hotel bertaraf lima bintang seperti Hotel Adelaide Hilton.

Hanifah berkata beliau bersetuju untuk menyertai kepimpinan FAS setelah melihat keadaannya yang terumbang-ambing ketiadaan ketua.

“Anda tidak boleh melihat sebuah organisasi yang cukup penting dalam sukan yang paling diminati di negeri ini, berada dalam keadaan ini cukup lama.

“Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk menerima lamaran persatuan ini,” katanya dalam sidang media yang sama petang tadi.

Sidang media tersebut diadakan untuk memaklumkan penyertaan Hanifah dalam organisasi itu.

Katanya lagi, dengan amanah yang diberikan, beliau yang juga penyokong tegar pasukan Ngap Sayot, berharap dapat menyumbang ke arah pembangunan bola sepak di negeri ini, terutama menaikkan taraf dan kualitinya.

“Saya berharap semua, termasuk penyokong, dapat sama-sama mengembalikan semangat pasukan bola sepak negeri, dan seterusnya menjulang nama Sarawak di persada kebangsaan.

Untuk itu, katanya, tumpuan akan diberikan bukan sahaja kepada pasukan utama yang akan beraksi kali terakhir pada 22 Oktober ini, tetapi juga kepada pasukan-pasukan Piala Presiden dan belia.

“Malah, saya meminta FAS untuk memperkasakan pasukan wanitanya agar menjadi pasukan yang disegani di rantau ini,” katanya lagi.

Katanya, kesanggupannya memikul tanggungjawab itu, adalah disebabkan bola sepak merupakan perkara yang paling dekat di hati orang Sarawak.

“Anda pastinya tidak mahu melihat ia rebah. Dan untuk itu anda perlu bersatu, ikhlas bekerja dan saling bertukar pandangan agar sukan ini berjaya mencipta nama yang baik untuk negeri anda,” tambahnya lagi.

Hanifah dilantik sebagai penasihat kerana FAS hanya akan mengadakan mesyuarat agung luar biasanya pada tahun hadapan, selepas tiga bulan mesyuarat agung dwitahunannya dilangsungkan.