Bekas pengurus Selangor, Amiruddin Shari, mendedahkan kemungkinan tiada lagi sebarang dana untuk Selangor musim depan dengan segala peruntukkan kerajaan negeri hanya akan disalurkan kepada PKNS.

Bagaimana nasib pemain dan pegawai Selangor pada musim 2017 apabila Amiruddin mengesahkan masih belum ada kata putus terhadap masa depan skuad The Red Giants?

Jalan penyelesaian bagi menyelamatkan kemelut ini hanya satu, iaitu pihak exco Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengadakan pertemuan dengan presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dalam masa terdekat.

Jika tidak, Amiruddin menegaskan FAS perlu bergerak dalam haluan sendiri untuk menguruskan Selangor dalam saingan Liga Super, musim depan.

“Sudah tiba masa kita memberikan ruang buat FAS untuk bergerak secara berdikari. Memiliki pengalaman hampir 30 tahun, saya yakin mereka mampu melakukannya,” katanya.

Sementara itu, Amirudin yang telah lama berhasrat untuk meletak jawatan sejak Ogos lalu, tidak menolak kemungkinan akan ada gabungan antara Selangor dan PKNS.

Walaupun melihat PKNS lebih bersedia ke arah penswastaan, namun beliau sukar menjangkakan sama ada idea berkenaan mampu dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Kita akan cuba untuk menggabungkan kedua-dua pasukan (Selangor FA dan PKNS FC) untuk dijadikan sebuah pasukan Selangor yang kuat, tetapi kami sedang membincangkan setiap halangan yang perlu dihadapi. Kita akan melihat semula kepada peraturan untuk melaksanakan perkara ini.”

Selaku juara bertahan, Selangor berjaya mara ke final Piala Malaysia, namun tewas kepada Kedah menerusi penentuan sepakan penalti dalam final di Shah Alam.

Gergasi Merah memulakan kempen dengan tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Piala Sumbangsih dan menamatkan saingan Liga Super di tempat kelima.