Faris sedia harungi baki musim yang unik

Oleh Tengku Danish Bahri 14 Mei 2020 30
Faris sedia harungi baki musim yang unik
Pemain sayap Terengganu FC (TFC), Faris Ramli, menjangkakan saingan Liga Super akan semakin sengit sebaik saingan kembali bersambung, September ini.

Menurut tonggak kelahiran Singapura itu, dengan hanya tujuh baki liga dimainkan, semua pasukan pastinya memberikan lebih 100 peratus untuk merebut kedudukan terbaik.

Sambil berharap aksi bola sepak Malaysia dapat diteruskan seperti dirancang, Faris berkata dia bersedia untuk mengharungi baki musim yang memenatkan tapi menarik itu.

"Setiap perlawanan pasti lagi sukar tidak kira beraksi di tempat sendiri atau di tempat lawan.

"Dalam situasi hanya tujuh lagi perlawanan, semua pasukan ada peluang sama rata untuk memenangi kejuaraan.

"Masalah ini melanda semua liga di dunia. Saya jangkakan ianya akan menjadi musim yang memenatkan tapi menarik," jelasnya yang masih berada di Singapura.

Faris, 28, menambah dia sentiasa mengikuti program latihan disediakan barisan jurulatih selain menjaga kesihatan serta keselamatan diri sepanjang berada di republik itu.

"Penting untuk semua pemain mengekalkan tahap kecergasan dan stamina agar bersedia untuk menyertai latihan bersama skuad bila-bila masa," ujar Faris.

Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen