Hasrat PKNS FC untuk mendapat kata putus penyertaan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2017 tidak kesampaian apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memerlukan sedikit masa lagi untuk menentukan status kelab itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, ketika ditemui mengakui FAM meminta sedikit tambahan masa bagi mengesahkan status PKNS.

PKNS sebelum ini bertindak keluar daripada naungan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), selepas tidak mendapat sokongan persatuan itu untuk pembabitan dalam Liga M musim depan sehingga mereka bertindak menjadi ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBSMS).

"Salah satu daripada dokumen yang dihantar itu merupakan surat penggabungan daripada PBSMS.

"Kami meminta FAM memberi pengesahan berkenaan surat penggabungan ini. Oleh kerana membabitkan proses dalaman, FAM meminta diberi sedikit masa untuk mengesahkan surat itu," kata Kevin.

Meskipun tidak dapat mengesahkan status penyertaan PKNS, Kevin mengakui kelab itu sudah memberikan butiran lengkap bagi memastikan penyertaan mereka dan kini hanya menanti kata putus FAM.

"Apa yang saya boleh sahkan, PKNS telah mematuhi semua tarikh akhir yang telah diberikan dan telah menghantar dokumen-dokumen yang diperlukan.

"Maka dengan itu PKNS tidak akan dikenakan apa-apa tindakan kerana telah mematuhi tarikh akhir."