Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, masih bertegas dengan pendirian meneruskan hasratnya untuk mengundurkan diri daripada KAFA ketika kewangan persatuan itu berada di paras kritikal.

Masalah kewangan yang dihadapi KAFA semakin meruncing, ditambah pula dengan pengunduran Annuar dari kerusi presiden KAFA ketika ini.

Annuar memberi jaminan persediaan KAFA bagi saingan Liga Malaysia 2017 berjalan lancar dengan melibatkan penyediaan bon bernilai RM3 juta dan bajet awal musim sebanyak RM5 juta.

"Untuk mengikat empat pemain import, secara kasarnya kami memerlukan peruntukan sebanyak RM1.5 hingga RM2 juta selain memancing pemain tempatan kalau melibatkan perpindahan.

"Itulah masalah pada bulan Disember kerana anda perlu ada aliran wang tunai untuk membentuk sebuah pasukan.

"Mengikut laporan bendahari tadi, kami perlukan RM2.7 juta," katanya.

Difahamkan, ada usaha untuk mendapatkan khidmat Datuk Seri Mustapa Mohamad bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Annuar ketika ini.

Bagaimanapun, penyelesaian masalah lain melibatkan hutang lapuk KAFA bernilai hampir RM7 juta masih buntu.

"Kita harus akui peranan utama dimainkan oleh presiden.

"Tetapi pada masa yang sama, exco-exco turut membantu dalam mencari dana.

"Cuma kami akui jumlah yang dikumpulkan itu masih belum cukup," kata pemangku presiden KAFA, Datuk Seri Affandi Hamzah, pula.