Durakovic sudah tandatangan kontrak dengan Perak

Oleh Azizan Hashim 7 November 2018 1246
Durakovic sudah tandatangan kontrak dengan Perak
Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akhirnya memecah kebisuan apabila mengesahkan bahawa Mehmet Durakovic sudah menandatangani kontrak dengan juara Piala Malaysia itu.

Pendedahan itu dibuat oleh Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, sebentar tadi.

"Dia sudah menandatangani kontrak dengan Perak tetapi kami belum mematikan setem.

"Saya akan umumkan butiran mengenainya sedikit masa lagi," katanya kepada pemberita.

Hasnul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Pertubuhan Bukan Kerajaaan (NGO) dan Pembangunan Koperasi Negeri, berkata pihaknya juga sedang menunggu maklum balas daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengenai isu jurulatih itu.

FAS sebelum ini mendakwa Durakovic sudah memetrai ikatan dengan FAS sejak September lalu tetapi membuat pusingan "U" selepas Perak muncul juara Piala Malaysia bulan lalu. 

Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, juga merestui keputusannya untuk terus kekal bersama skuad The Bos Gaurus selepas mendengar penjelasan jurulatih itu.

"Kami masih menunggu maklum balas daripada Selangor tetapi setakat ini saya difahamkan mereka tidak bercadang mengambil apa-apa tindakan.

"Selangor juga berjiwa besar dan memandang ke depan serta mahu bola sepak diurus dengan baik," katanya lagi.

Hasnul juga berkata sebahagian besar pemain import musim ini akan dikekalkan.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen