Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, gembira dengan kejayaan The Bos Gaurus mendapatkan khidmat bekas tonggak pertahanan PKNS FC, Zachary Michael atau "Zac" Anderson bagi mengharungi kempen Liga Malaysia musim 2019.

"Saya yakin Perak membuat tangkapan yang baik dengan mendapatkan Anderson.

"Dia punyai kewibawaan dan dengan pengalaman luasnya akan memperkukuhkan lagi benteng pasukan.

"Perak punyai barisan pertahanan padu yang sememangnya mantap, " katanya merujuk kepada gandingan empat pemain kebangsaan, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Mohd Saad, Nazirul Naim Che Hashim dan Amirul Azhan Aznan.

Mengenai import kelima, Durakovic berkata dia juga bersedia untuk menghadapi kempen musim ini dengan hanya empat tenaga import kerana ingin mengurangkan beban kewangan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Jurulatih berasal dari Australia itu juga berharap dua pemain Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, iaitu Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dan Hafiz Ramdan, akan menyertai Perak untuk memberinya lebih banyak pilihan musim baru nanti.

"Saya akan memerlukan ramai pemain berwibawa kerana kami mempunyai musim agak sibuk kerana turut terbabit dalam kejohanan kelayakan Liga Juara-Juara Asia.

"Kehadiran Shahrel dan Hafiz tidak syak lagi akan meningkatkan kemampuan pasukan, " katanya lagi.

Bagaimanapun Durakovic tidak tahu sama ada kedua-dua pemain itu sudah bersetuju untuk menyertai Perak kerana tidak terbabit dalam rundingan dan perbincangan diadakan.

Beliau juga lega kerana majoriti pemain skuad 2018 masih kekal bersama Perak tahun depan dan berharap mereka terus menunjukkan komitmen tinggi seperti musim ini.