Covid-19: Ubah format, korbankan Piala Malaysia 

Oleh Shaiful Shamsudin 20 Mac 2020 6926
 Covid-19: Ubah format, korbankan Piala Malaysia 
Rata-rata reaksi daripada pasukan yang bertanding, jurulatih dan pemerhati bola sepak negara bersetuju sekiranya Piala Malaysia perlu dikorbankan musim ini jika penularan wabak koronavirus baru (Covid-19) berterusan.

Berikutan penundaan perlawanan liga termasuk saingan Piala FA gara-gara gelombang kedua wabak Covid-19 ketika ini, perubahan format Piala Malaysia juga wajar dipertimbangkan demi prestij piala teragung itu.

"Ia langkah terakhir (batal Piala Malaysia dan kritikal yang akan diambil oleh MFL.

"Diharapkan ia tidak berlaku," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ghani Hassan, semalam.

Dalam masa sama, Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman, berpandangan ia tidak dapat dapat dielakkan berikutan situasi ketika ini: "Piala Malaysia merupakan saingan berprestij, semua orang menunggunya pada setiap tahun.

"Mungkin format diubah kepada jumlah pasukan yang menyertainya. 

"Tetapi kalau Liga-M bersambung lewat hingga Jun depan, mungkin Piala Malaysia tidak dijalankan."

Saingan liga akan bersambung semula seawal bulan depan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak kerajaan berkesan.

Meskipun Piala Malaysia tidak menawarkan slot ke kejohanan di peringkat Asia, ia tetap menjadi dambaan pasukan yang bertanding.

Apa tidaknya, piala berkenaan mempunyai prestij sebagai kejohanan tertua di rantau Asia selepas mula dipertandingkan pada awal 1920.

Begitupun, berdasarkan situasi semasa, rata-rata jurulatih tempatan bersetuju agar saingan itu tidak dilangsungkan musim ini.

"Bukan ideal untuk meneruskan aksi ketika ini. 

"Perak memulakan musim ini dengan baik tetapi keselamatan perlulah menjadi keutamaan kerana kita tidak tahu di manakah boleh dijangkiti.

"Kita perlu melindungi diri sendiri kerana ia boleh merebak kepada orang lain..

"Kita perlu keselamatan diri, bola sepak sudah menjadi perkara kedua," kata jurulatih The Bos Gaurus,Mehmet Durakovic. 

Menurut jurulatih Selangor, B. Sathianathan, pula: "Apa yang penting, saingan Piala FA dan liga perlu diteruskan." 

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen