Covid-19: Pemain Kuching FA sumbang gaji bantu insan memerlukan

Oleh Shaiful Shamsudin 6 April 2020 393
Covid-19: Pemain Kuching FA sumbang gaji bantu insan memerlukan
Selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) dan juga UKM FC mengambil keputusan untuk memotong gaji pemain, Kuching FA menjadi pasukan ketiga mengambil tindakan serupa. 

Tonggak berpengalaman kelab dari Sarawak itu, Joseph Kalang Tie, mengakui pemotongan gaji berkenaan dilakukan dengan seiklhas hati walaupun purata gaji pemain pasukannya adalah rendah.

Kuching FA menerusi kenyataan Liga Bolasepak (MFL) semalam bersetuju dengan kaedah pemotongan gaji susulan wabak koronavirus baru (Covid-19) yang melanda negara dunia ketika ini.

Ia membabitkan pemotongan sebanyak lima peratus menerusi persetujuan bersama dengan pihak pengurusan bagi menyelesaikan masalah kewangan pasukan yang menyaksikan Liga Malaysia (Liga-) turut ditangguhkan.

"Gaji yang dipotong itu akan disalurkan untuk membantu golongan yang lebih memerlukan. 

"Kami ikhlas kerana bersepakat. Apatah lagi logo kelab ini melambangkan keluarga Kuching," kata bekas pemain kebangsaan itu menerusi video kepada wakil Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, hari ini.

Tindakan Kuching FA itu mendapat pujian MFL yang berharap pasukan lain dapat mengambil pendekatan sama.

Dalam masa yang sama, Kedah merancang menjejaki langkah itu tetapi masih di peringkat perbincangan dengan pemain.

"Kalau boleh kami nak bincang secara elok. Saya berasa pemain pun faham. 

"Pemain jangan bermewah-mewah. 

"Kami mahu menerapkan corak pemikiran yang baru kepada pemain supaya dalam masa yang sama, mereka dapat membantu masyarakat. 

"(Jasa) mereka akan diingati oleh orang ramai," kata Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris, ketika dihubungi. 

Menurut Presiden Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali, pula meskipun sebelum ini mereka berpendirian tegas mengenai isu pemotongan gaji, namun persatuan itu sama sekali tidak menghalang niat murni mana-mana pemain yang ingin menyumbang kepada masyarakat. 

"Segala keputusan pemain tidak boleh dihalang, contohnya pemain JDT. 

"Ia tertakluk kepada pemain itu sendiri," katanya.

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen