Ketika masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), banyak pihak yang ternanti-nanti bilakah mereka boleh kembali ke padang.

Memasuki fasa PKPP berikutan krisis COVID-19, proses fasa pertama untuk mendapatkan kelulusan kembali ke padang rupanya bukan mudah apabila 15 pasukan Liga Super dan Liga Perdana tersekat dalam proses itu.

Ujian saringan pandemik itu bukan halangan utama, sebaliknya proses nyah-kuman, kawalan tempat latihan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjadi penghalang.

Antara yang sudah hampir melepasinya ialah Felda United apabila kini hanya menunggu kelulusan itu.

"Kami akan menerima hasil ujian saringan itu hari ini, kemudian kami akan menyerahkannya kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Kami telah menjalani proses nyah-kuman di dua padang latihan kami," kata Setiausaha Agung The Fighters, Afizal Abu Othman, kepada wartawan Nadi Arena, Norsyarafina Nasrom.

Begitupun, PDRM dan UKM FC pula hanya bercadang turun berlatih bermula 1 Julai atas alasan seperti penglibatan majoriti pemainnya terlibat dengan barisan hadapan.

"Kami tidak terburu-buru untuk menjalani latihan. Kami perlu buat semua persiapan dulu.

"Jadi kami ambil sedikit masa untuk panggil pemain dan perkara ini diselesaikan sebelum bulan depan," jelas Setiausaha Kehormat UKM, Mohd Fairus Shafie.

Tambah Setiausaha Agung Kuala Lumpur, Nokman Mustafa: "Kami perlu mengadakan ujian saringan terlebih dahulu.

"Kemudian kami perlu dapatkan surat pengesahan daripada doktor selain membuat proses nyah-kuman di tempat latihan."

Tatkala majoriti pasukan masih bergelut untuk mendapatkan kebenaran, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ghani Hassan, menegaskan perancangan badan pengelola itu hanya untuk fasa pertama latihan yang berlangsung selama 20 hari.

Fasa pertama latihan sepatutnya tamat pada minggu pertama bulan depan. Namun, timbul persoalan apakah pasukan yang lewat turun berlatih, fasa pertama latihan mereka juga berakhir pada waktu yang sama.

"Beri MFL tempoh 20 hari sejak 15 Jun lalu untuk memantau sesi latihan sekarang, bahkan diperhatikan oleh rakyat Malaysia," kata Ghani.

Tempoh singkat itu memadai untuk pihak kerajaan dan MFL pantau sejauh mana pematuhan terhadap SOP dilaksanakan pasukan.

"Itu bukan syarat yang ditetapkan MKN tetapi MFL berusaha ke arah itu kerana kami mengenangkan pasukan dan kepentingan Liga Malaysia (Liga-M) jika dibenarkan oleh pihak kerajaan September depan."