COVID-19: FAM sahkan pengadil jalani ujian calitan 

Oleh Shaiful Shamsudin 27 Julai 2020 94
COVID-19: FAM sahkan pengadil jalani ujian calitan 
Selepas dilaporkan dengan jelas tiada keperluan ujian calitan COVID-19 ke atas pengadil dalam laporan Nadi Arena semalam, hari ini lain pula ceritanya.

Ia bermula dengan pandangan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul, menuntut prosedur sama dilakukan kepada pegawai perlawanan.

Ia membawa kepada kenyataan terkini Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, yang mengesahkan ujian calitan yang akan dilakukan pada 16 hingga 17 Ogos depan.

Windsor mempersoalkan keadilan untuk mendapatkan hak buat 80 pengadil Liga Super dan Liga Perdana yang akan mengadili perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) 2020.

Dia tidak bersetuju dengan kenyataan tiada keperluan ujian COVID-19 buat pegawai perlawanan kerana peranan yang dimainkan mereka di atas padang mampu membawa risiko jangkitan.

Justeru, ujian COVID-19 ke atas pengadil adalah keperluan utama sambil melabel pengadil merupakan sebahagian daripada pasukan.


 
Posted by Malaysian Football League on Friday, June 12, 2020


"Sesiapa yang memasuki stadium harus mempunyai sijil yang menyatakan mereka bebas daripada COVID-19. 

"Misalnya dalam perlawanan Kejohanan AFC, kami akan membantu pengadil untuk menjalani ujian calitan itu," kata Windsor. 

Jika kos menjadi perdebatan, Windsor menasihatkan agar tidak terikat dengan jumlah belanja yang terpaksa dikeluarkan demi mengelak sesuatu yang lebih buruk daripada berlaku.

Kalau pemain diwajibkan menjalani ujian calitan itu, maka sesiapa sahaja yang di atas padang dan berada bersama-sama dengan pemain juga harus dilihat berisiko tinggi," katanya. 

Sementara itu, mungkin ada kes positif melibatkan pemain pasukan Liga Perdana, Kuching FA, telah mengubah pandangan FAM.

"Ia memang dalam percaturan (FAM) sebelum ini cuma dalam tempoh dua-tiga hari yang lalu, keputusan akhir baru dikeluarkan beberapa hari lalu dalam menentukan penetapan tarikh untuk ujian calitan dijalankan. 

"Ia akan dilakukan pada 16 dan 17 Ogos, seminggu sebelum perlawanan pertama Liga-M bersambung pada 22 dan 26 Ogos.

"Dalam percaturan, FAM ada menyediakan pilihan 'A dan B', ujian calitan sentiasa menjadi percaturan dengan adanya penambahan kes positif dan kesesuaian semasa," kata Stuart. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen