Bekas jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic, enggan memberi pengesahan sama ada Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menawarkannya jawatan dalam skuad itu.

Bekas awang import Selangor itu, bagaimanapun, mengakui berlandaskan situasi terkini dalam FAS, ia mungkin bukan waktu terbaik buatnya kembali ke Selangor.

"Menteri Besar dalam keadaan sangat positif dan ia hanya pertemuan tidak rasmi mengenai masa depan pasukan.

"Buat masa ini, saya masih mengambil langkah berhati-hati untuk kembali dan kita akan lihat nanti," katanya ketika diminta mengulas mengenai pertemuannya dengan Azmin.

Kini, tumpuan Durakovic adalah untuk meneruskan kerjaya jurulatihnya dalam Liga Australia dan sudah pasti akan mempertimbangkan peluang kembali ke Liga Malaysia pada masa depan.

"Sudah tentu ada peluang itu tetapi ia bergantung kepada beberapa perkara, termasuk keluarga. Jika keluarga gembira, saya gembira. Saya sangat positif mengenai perkara itu," tambahnya.

Durakovic adalah jurulatih yang berjaya menamatkan penantian panjang misi 33 Selangor dalam kancah Piala Malaysia.

Bukan itu sahaja, sepanjang berkhidmat sebagai jurulatih skuad Merah Kuning sepanjang 2013 hingga 2015, Durakovic membawa Selangor muncul dua kali selaku naib juara Liga Super.