Selepas semusim tidak bermain akibat kecederaan lutut anterior cruciate ligament (ACL), bekas pemain tengah Kelantan, Brendan Gan, meyuarakan kesediaan untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Brendan mengalami kecederaan lutut ACL keduanya pada hujung 2016 ketika mewakili skuad kebangsaan berdepan Myanmar dalam satu aksi persahabatan sebelum bermulanya saingan Piala Suzuki AFF.

Dia yang pernah menyarung jersi Sydney FC itu sebenarnya sudah pulih pada pertengahan tahun ini, namun enggan tergesa-gesa kembali beraksi kerana mahu benar-benar berada dalam prestasi terbaik untuk turun ke padang.

“Bagi saya, kembali bermain dalam tempoh yang singkat bukan satu perkara yang saya inginkan. Saya mahu benar-benar bersedia dan mampu memberikan komitmen 100 peratus apabila kembali bermain,” katanya.

Pemain tengah ini kini sedia mempertimbangkan tawaran mana-mana pasukan sambil menegaskan tawaran lumayan bukan keutamaan baginya.

“Soal tawaran bukan menjadi keutamaan kerana apa yang penting adalah masa depan yang dimiliki oleh sesebuah pasukan. Saya mahu meraih lebih banyak pengalaman bermain.

"Jadi, walaupun jika saya menerima banyak tawaran, saya akan menelitinya terlebih dahulu,” katanya.