Itu dilema yang membelenggu rata-rata pemain apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) masih belum memutuskan status sebenar Liga Malaysia 2021.

Kerisauan itu dikongsikan kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 4 Februari ini dan kemungkinan akan dilanjutkan lagi dalam tempoh tertentu.

"Kalau ikutkan, kami agak resah melihat perkembangan keadaan semasa dan kini tidak mengetahui sama ada dapat menjalani latihan atau sebaliknya," kata penjaga gol KL United, Khatul Anuar Md Jalil.

"Situasi semasa ini amat membimbangkan kerana tidak dapat mengukur kemampuan dan prestasi semasa. Buat masa ini sekadar dapat menjalani latihan mengikut program yang telah ditetapkan," kata penjaga gol Pulau Pinang FC, Shafiq Afifi Suhaimi.

Bagi Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali, pula, "Sebagai contoh bagi saingan liga di Itali dan Jerman, mereka sentiasa melakukan ujian calitan dan mana-mana pemain yang positif, mereka akan dikuarantin. Ia agak memakan belanja yang besar namun ia adalah langkah yang terbaik."