UiTM FC berdepan cabaran hebat menentang Felda United esok selepas tonggak import mereka, Gustavo Almeida terpaksa diketepikan atas faktor kecederaan namun pengendalinya, Frank Bernhardt, tetap optimis anak buahnya mampu mengutip mata penuh dalam baik saingan Liga Super.

UiTM merupakan antara pasukan terawal yang turun ke padang menjalani latihan selepas kerajaan umum lampu hijau sejak Jun lalu.

Dalam tempoh tersebut, skuad kendalian Benhardt melakukan persiapan rapi dengan menjalani lima perlawanan persahabatan, termasuk menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) minggu lalu.

Benhardt juga mengakui semakin berpuas hati dengan prestasi dan momentum barisan anak buahnya biarpun tewas 8-0 kepada JDT dalam aksi pemanas badan.

"Saya sangat berpuas hati dengan prestasi pasukan. Kem latihan yang telah ditetapkan berakhir mengikut perancangan dan kami semakin melangkah ke hadapan," katanya.

"Kami tidak sabar untuk menghadapi aksi Liga Super namun perlu menyesuaikan diri dengan padang sintetik di tempat lawan."

Manakala kapten pasukan, Muhammad Faizal Mohd Arif, beranggappan pasukannya tiada beza jika dibandingkan dengan skuad kendalian Nidzam Jamil, yang juga dibarisi ramai pemain muda.

"Felda dan UiTM tidak memiliki perbezaan yang banyak, kami dibarisi pemain-pemain muda," kata Faizal.

"Keserasian antara pemain semakin meningkat dan kami yakin untuk mendapatkan keputusan yang positif."

Sementara itu, UiTM menerima sebuah bas baru bagi menggantikan bas sedia ada yang telah digunakan oleh pasukan tersebut sejak tahun 2013 lalu.

Pemberian itu diterima dari pihak pengurusan UiTM sebagai tanda penghargaan apabila kali pertama beraksi dalam Liga Super.

Selepas selesai majlis penyerahan dan doa selamat, skuad kendalian Frank Benhardt merasmikan bas baru ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka dalam saingan berdepan Felda United.