Dua pemain akan kembali membuat kemunculan dalam Liga Malaysia 2021 selepas terpaksa diketepikan musim ini.

Pertahanan kanan Johor Darul Ta'zim JDT), Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, berazam kembali merebut tempat dalam senarai Benjamin Mora selepas 70 peratus pulih sepenuhnya daripada kecederaan ligamen lutut.

Manakala Jafri Firdaus Chew, hampir pasti bersama pasukan di Lembah Klang namun perlu masa untuk memuktamadkan keputusan selepas berdepan trauma kejadian awal tahun ini.

Sebelum ini, Mora terpaksa mengetepikan Azrif atas faktor kecederaan ligamen lutut dialami ketika menjalani siri jelajah pra musim di Emeriah Arab Bersatu (UAE) awal musim ini.

Bagaimanapun, persaingan sengit dengan kehadiran Matthew Davies serta S. Kunanlan di posisi yang sama tidak menghalang pemain berusia 29 tahun itu untuk terus berusaha merebut tempat.

"Perkara paling dirindui adalah kembali berlatih bersama pasukan dan kembali menyarung jersi JDT. Saya berharap untuk terus bersaing mendapatkan tempat dalam pasukan. Pada pendapat saya, barisan pemain yang terpilih adalah yang terbaik untuk menghadapi perlawanan," kata Azrif.

Sementara itu, bekas penyerang PKNS, Jafri Chew, pula enggan mimpi ngeri awal musim lalu berulang lagi, menyaksikan dia lebih berhati-hati dalam menentukan masa depannya.

Terdahulu, Kedah mengumumkan Jafri sebagai salah seorang pemain mereka tahun ini, tidak lama kemudian, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) terpaksa membatalkan hajat tersebut atas faktor kecergasan.

Pemain berusia 23 tahun itu dikaitkan dengan pasukan PJ City dan Kuala Lumpur ketika ini.

"Sekarang semua masih lagi dalam proses perbincangan. Segalanya terpulang kepada pasukan untuk menerima saya ataupun sebaliknya," katanya.