Azmizi mahu balas kepercayaan Felda

Oleh Staff Writer 9 Januari 2020 211
Azmizi mahu balas kepercayaan Felda
Bekas pertahanan PDRM FA, Azmizi Azmi, menganggap penghijrahan ke Felda United cukup bermakna buat dirinya setelah lima bulan tidak bergaji selain hampir tidak mempunyai pasukan untuk beraksi musim ini.

Azmizi meninggalkan PDRM selepas pasukan itu berdepan masalah pembayaran gaji kepada pemain dan jurulatih.

Ia membabitkan tunggakan gaji selama lima bulan sehingga anak jati Perlis itu bergelut mendapatkan pasukan sebelum berjaya menyertai The Fighters musim ini.

"Saya berterima kasih kepada pengurusan Felda dan jurulatih. Alhamdulillah masih diberi peluang untuk beraksi tahun ini. Saya terharu dan menandatangani kontrak pada saat-saat akhir. Saya perlu gunakan peluang ini sebaik-baiknya," katanya.

Ini merupakan kali kedua pemain berusia 33 tahun itu mewakili Felda United selepas musim 2013.

Pengalaman lebih sedekad dalam Liga Malaysia kini ditagih untuk memastikan pasukan kendalian Nidzam Jamil itu mampu menghadirkan saingan hebat dalam Liga Super.

"Dalam Felda ramai pemain muda berbakat. Kalau boleh kami mahu melangkah jauh," tambahnya.




Editor: Nafis Abdullah

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen