Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, mengesahkan sekurang-kurangnya dua pemain import baharu Sang Penyu, Federico Falcone dan Nemanja Janicic, akan mula bersama pasukan it, minggu ini.

Penyerang berasal dari Brazil, Falcone, sudah berada di ibu negara dan akan menjalani ujian perubatan di Kuala Terengganu, hari ini.

“Namun, dia terpaksa pulang ke Malta sebaik sahaja selesai ujian itu kerana perlu menguruskan dokumentasi perjalanan dan visa keluarganya.

“Saya tidak risau keadaannya kerana dia dalam prestasi terbaik, malah Falcone masih beraksi dan menjaringkan gol ketika kunjungan saya baru-baru ini serta membantu pasukannya berada pada kedudukan tiga teratas Liga Malta.

“Cuma Janicic yang kali terakhir beraksi dalam aksi kompetitif bulan lalu, dan hanya akan tiba Khamis ini,” ujarnya.

Selain Falcone, 26, dan Janicic, 30, seorang lagi pemain import baharu, Jocinei Schad, 26, juga bakal menambah sengat pasukan itu dalam membawa Terengganu kembali ke kancah liga utama pada 2018.

“Walaupun kami tidak boleh bergantung kepada pemain luar semata-mata, sudah tentu saya mengharapkan kehadiran mereka dapat memperkuatkan lagi dan membimbing pasukan ini.

“Kami akan menjalani latihan sebagai satu pasukan sekurang-kurangnya sehingga dua minggu dan kemudian kami akan mengadakan perlawanan persahabatan yang sebenar,” tambah Irfan lagi.