Amirzafran, Kamal Azizi tekad pikat Irfan

Oleh Tengku Danish Bahri 24 November 2017 953
Amirzafran, Kamal Azizi tekad pikat Irfan
Tonggak T-Team, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris dan Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri, menjadi pemain terbaru menyertai Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi saingan musim depan.

Kehadiran tonggak pertahanan itu sudah pasti memperkemaskan skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim, dengan Amirzafran mengakui menolak tawaran dua pasukan lain untuk beraksi bersama TFC.

Menurutnya, walaupun menyedari tugas berat menanti, dia bersedia memberikan persembahan terbaik bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Saya perlu segera menyesuaikan diri dengan rentak latihan jurulatih selain berharap dapat meningkatkan prestasi dalam Liga Malaysia (Liga M),” kata Amirzafran, 23.

Kehadiran Kamal Azizi, 24, pula dilihat sebagai calon terbaik di posisi bek kanan menggantikan Firdaus Faudzi yang berhijrah ke pasukan lain.

Namun, ujarnya, dia tidak boleh menganggap posisi itu sudah menjadi miliknya walaupun merupakan antara pemain kepercayaan Rahmad Darmawan ketika bersama T-Team, yang kini dikenali sebagai TFC II.

“Peluang diberikan ini harus dibalas sebaik-baiknya dan saya berjanji akan bekerja keras untuk membantu TFC mengecapi kejayaan,” katanya.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen