Ahmad Faizal sah presiden PAFA

Oleh Azizan Hashim 6 Disember 2018 567
Ahmad Faizal sah presiden PAFA
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Zainal Azman Abu Seman, disahkan sebagai presiden dan timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), sebentar tadi.

Pengesahan itu dibuat dalam kongres luar biasa (EGM) persatuan itu di sebuah hotel terkemuka di Ipoh.

Tiada agenda lain dalam mesyuarat yang berlangsung kurang daripada 30 minit itu kecuali pengesahan jawatan Ahmad Faizal dan Zainal Azman.

Ahmad Faizal dalam ucapan penutupnya meminta semua pihak kembali bersatu demi kemajuan bola sepak Perak.

"Tutup cerita lama dan buka buku baru. Kita satu keluarga. Mari kita bergerak maju ke hadapan," katanya.

Ahmad Faizal berterima kasih kepada perwakilan daripada 18 ahli gabungan yang mencalonkan beliau dan Zainal Aman untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan Datuk Adly Shah Ahmad Tah. 

Hasnul Zulkarnain meletakkan jawatan 8 November lalu dan menyerahkan surat peletakan jawatannya pada 13 November berikutan tekanan terhadapnya kerana caranya 'melayani' Piala Malaysia yang dimenangi The Bos Gaurus selepas 18 tahun.

Adly pula menyerahkan surat peletakan jawatan pada 8 November lalu dengan alasan mahu menumpukan kepada perniagaannya. 

Berikutan itu, PAFA berada di bawah jagaan Pemangku Presiden, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad, yang juga naib presiden 1 persatuan itu. 

Dalam EGM itu, PAFA turut menerima tajaan bernilai RM1 juta daripada Syarikat KL Teh Land and Development Sdn. Bhd.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen