Kongres Khas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersetuju pada dasarnya menarik diri daripada menyertai Liga Malaysia (Liga-M) musim depan akibat kegagalan mendapatkan sumber tajaan secukupnya, namun menetapkan tarikh 6 Januari depan bagi memuktamadkan keputusan tersebut.

Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, menjelaskan ahli kongres sebulat suara bersetuju supaya Kelantan menarik diri daripada menyertai saingan Liga-M musim depan, namun masih mengharapkan barisan exco yang ada berusaha lebih gigih mencari penaja utama sehingga 6 Januari depan yang juga tarikh akhir pendaftaran pemain sebagaimana yang dikehendaki Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Pada dasarnya, memang kongres bersetuju kekal dengan keputusan sebelum ini (tarik diri), namun mereka mohon pihak exco terus berusaha mencari penaja berpotensi bagi membolehkan Kelantan bersaing dalam Liga-M musim depan.

“Saya juga ingin meminta mana-mana penaja yang telah menyuarakan keinginan untuk menaja skuad TRW musim depan supaya segera tampil untuk memuktamadkan perjanjian rasmi sebelum 6 Januari,” katanya dalam sidang media di Pengkalan Chepa, pagi tadi.

Ditanya keputusan kongres ini bakal menimbulkan perasaan tidak puas hati penyokong yang mengganggap KAFA bermain wayang, Afandi memohon semua pihak, terutamanya penyokong, supaya menghormati keputusan kongres dan pihaknya sentiasa berusaha untuk mengadakan sebarang rundingan dengan penaja yang mampu membolehkan TRW beraksi musim depan.

“Tidak (isu main wayang) kerana kami (exco) telah bentangkan kepada kongres apa sebenarnya yang berlaku. Pihak kongres pula mendesak barisan exco supaya usaha diteruskan supaya berunding dengan semua penaja yang mahu menaja skuad Kelantan musim depan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Affandi juga mengumumkan KAFA bersetuju mencalonkan bekas presidennya, Tan Sri Annuar Musa, sebagai calon presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).