Jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah, mengakui kejayaan meraih mata sulung ketika mengikat Kuching City FC 2-2 cukup bermakna sekalipun bukan untuk menutup mulut pengkritik terhadap penyertaan mereka dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).

Dalam sidang media selepas perlawanan, bekas jurulatih Kelantan FC itu turut memberi perkongsian lanjut mengenai formasi 3-4-3 dalam sistem permainan pasukannya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Ia mungkin terjadi sekali dalam semusim. Saya harap ia terjadi lagi kerana setiap mata amat berharga.

"Saya sempat berbincang dengan Pengarah Pembangunan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee, dan sistem 3-4-3 ini menjadi lebih baik untuk kami selepas kami tewas empat perlawanan.

"Mungkin formasi ini sesuai dengan pemain yang ada," katanya selepas perlawanan di Shah Alam, semalam.

? JADUAL PERLAWANAN LIGA PREMIER 2021 - LP8 Penonton telah dibenarkan untuk memasuki stadium, namun tertakluk kepada kelulusan MFL. #LigaPremier2021

Posted by Malaysian Football League on Thursday, April 8, 2021


Reputasi Irfan Bakti Abu Salim selaku jurulatih berpengalaman tampak tercalar susulan kegagalan kelab dari Borneo itu menjadikan skuad remaja negara berkenaan sebagai lubuk tiga mata seperti yang dilakukan beberapa pasukan lain.

Wujud persoalan adakah pemain Kuching City terlalu yakin ketika turun beraksi menentang skuad pembangunan itu, penolong jurulatih, Sulaiman Hussin, bagaimanapun tampil menawarkan jawapan.

"Tidak timbul soal kami pandang rendah pasukan lawan.

"Ini satu perlawanan yang rumit, mereka boleh jadi pasukan pengacau.

"Memang wujud pasukan macam ini jadi hari ini mereka buktikan," katanya pula.