Yusri gembira TRW kekal disiplin sepanjang PKP

Oleh Farizal Yusoff 12 April 2020 258
Yusri gembira TRW kekal disiplin sepanjang PKP
Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, bersyukur semua pemainnya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan dan bersemangat menjalani latihan di rumah masing-masing sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan.

"Alhamdulilah, setakat ini, semua pemain The Red Warriors (TRW) tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang dikaitkan dengan gejala Covid-19.

"Saya harap mereka (pemain) terus mematuhi segala arahan yang dikeluarkan kerajaan sambil menjalani latihan biarpun keadaan tidak benarkan mereka lakukan di tempat terbuka.

"Sebagai pemain profesional, kecergasan perlu diutamakan sepanjang masa dan harap kita dapat berkumpul semua di padang apabila PKP berakhir nanti," katanya.

Jurulatih kelahiran Perlis berusia 44 tahun itu juga tidak mahu membuat sebarang andaian terhadap status Liga Malaysia yang ditangguhkan akibat penularan wabak Covid-19, sebaliknya menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk membuat keputusan.

"Kami serah kepada FAM dan MFL untuk memutuskan sebarang tindakan yang perlu terhadap masa depan liga yang baru bermula ini.

"Tentu juga pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan diambil kira sebelum sesuatu tindakan itu dibuat," tambahnya.

Untuk rekod, selepas beraksi dalam tiga perlawanan terdahulu, TRW memunggut empat mata hasil daripada kejayaan menumbangkan pendatang baharu, Kelantan United FC (KUFC) 2-0 dan terikat seri 1-1 dengan Kuala Lumpur dalam aksi pembukaan.

Namun, dalam perlawanan terakhir sebelum liga ditangguhkan, Kelantan tewas 2-1 kepada pendahulu, Terengganu FC II, di gelanggang lawan.

Kredit Foto: Kelantan FA

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen