'Tawaran' KAFA tidak masuk akal -- Piya

Oleh Farizal Yusoff 16 Jun 2019 85477
'Tawaran' KAFA tidak masuk akal -- Piya
Hajat peminat setia untuk menyaksikan kemunculan semula bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau Piya, untuk beraksi bersama Kelantan United FC tidak kesampaian apabila dia mendakwa bekas majikannya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), enggan mengeluarkan surat pelepasan atau Sijil Perpindahan Negeri (SPN).

Bukan itu sahaja, Piya juga menganggap tindakan KAFA itu sebagai zalim apabila mahukan dia melupakan tunggakan gaji yang dituntut jika ingin mendapatkan SPN, sekali gus turun beraksi menentang DDM FC dalam saingan Liga M3 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

"Kenapalah KAFA zalim sangat sehingga sanggup membuat 'tawaran' sebegitu rupa?

"Ini tidak masuk akal, malah satu penghinaan kepada saya yang pernah melonjakkan nama Kelantan dalam arena bola sepak tempatan dan antarabangsa.

"Surat persetujuan untuk menamatkan kontrak sudahpun diterima, namun bila nak bermain bersama pasukan baharu (KUFC), KAFA pula kemukakan tawaran yang pelik. Kena setuju potong dua bulan gaji pula," katanya.

Piya yang pernah memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai (MPV) dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2013, berkata tindakan KAFA itu umpama dendam yang tiada kesudahan dan seolah-olah mahu menutup periuk nasinya sebagai pemain bola sepak.

"Bola sepak adalah mata pencarian utama saya untuk menyara keluarga selain membayar rumah, kereta dan sebagainya. Lebih teruk, tunggakan gaji musim lepas masih belum dibayar oleh KAFA," ujarnya. 

Untuk rekod, KUFC baru-baru ini membawa masuk Piya bersama-sama dengan Mohd Nizab Ayub (Perak), Mohd Azrean Aziz (T-Team), Wan Mohamad Ridhwan Deraman (Kelantan) dan Mohd Ainan Yusoff (Piala Presiden Kelantan) serta penyerang import kelahiran Gambia, Alfusainey Gassamu, untuk mengukuhkan pasukan dengan sasaran layak ke Liga Perdana musim depan.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen