Pertahanan berpengalaman, S. Subramaniam, mahu melengkapkan koleksi pingat kejuaraan peribadinya dengan cuba membantu majikan baru, Kuala Lumpur, memenangi saingan Liga Perdana musim 2020.

Subramaniam merupakan antara pemain baru dibawa masuk untuk memperkuatkan skuad Warga Kota itu musim depan di samping Shukor Adan dan Fandi Othman.

Pada usia 34 tahun, Subramaniam sudah mengecap pelbagai kejuaraan di peringkat tempatan, termasuk menjulang trofi Liga Super bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) serta Piala Malaysia dan Piala FA ketika bersama Kelantan.

Namun, pertahanan kental itu belum pernah mendakap kejuaraan Liga Perdana dengan percubaan terbaiknya adalah pada musim 2006/2007 ketika mewakili UPB-MyTeam yang mengakhiri saingan di tempat kedua.

"Saya melihat projek Kuala Lumpur dan teruja dengan cita-cita mereka untuk kembali ke Liga Super. Dengan sasaran menjuarai Liga Perdana, ia akan melengkapkan kejayaan saya di pentas saingan tempatan," katanya.

Biarpun mempunyai pengalaman luas dalam kancah pertandingan tempatan, Subramaniam mengakui saingan masih amat sengit, terutama perebutan kesebelasan utama dalam skuad Kuala Lumpur.

Apatah lagi Kuala Lumpur musim 2020 yang dikendalikan jurulatih baru, Nidzam Adzha Yusoff, mempunyai beberapa pemain muda yang turut cuba mencabar tempat dalam pasukan.

"Terdapat dua pemain berpengalaman, Shukor dan Indra Putra Mahayuddin yang akan menjadi penanda aras buat semua pemain. Saya sendiri memandang tinggi kemampuan mereka kerana prestasi yang ditampilkan sangat baik dan harus dicontohi."