Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengubah pendirian membabitkan polisi pemain dalam skuad Selangor II apabila berhasrat untuk mendapatkan sekurang-kurangnya seorang pemain import.

Selangor II -- yang dahulunya dikenali sebagai PKNS FC -- bakal beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan dan sebelum ini mengumumkan polisi untuk menggunakan 100 peratus kudrat pemain tempatan.

Namun, polisi itu terpaksa diubah hasil saranan jurulatih merangkap Pengarah Teknikal FAS, Michael Fecteinbeiner, yang melihat kelibat seorang awang import mampu untuk mengetuai barisan muda Selangor II.

"Kemasukan pemain import ini bukan untuk kami memenangi saingan liga tetapi bagi memastikan Selangor II tidak tersingkir ke Liga M3.

"Kami mahu pastikan pemain muda berada di tahap kejohanan setinggi mungkin. Insya-Allah kami akan membawa masuk seorang pemain import untuk kekal bersaing," kata Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon.

Untuk skuad utama, Selangor, yang beraksi dalam Liga Super, FAS tidak bercadang menambah sebarang pemain, termasuk kuota import.

"Untuk skuad utama, kami yakin sudah memiliki pemain yang diinginkan. Untuk Selangor II, mungkin ada penambahan secara dalaman kerana saya rasa kami ada ramai pemain berbakat."