Visi dan perancangan masa depan yang jelas adalah faktor yang membuat pertahanan kebangsaan, Shahrom Kalam, akhirnya memilih Felcra FC untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

Status Felcra sebagai pendatang baru Liga Perdana musim depan tidak menjadi penghalang buat Shahrom memilih kelab itu sebagai pasukan barunya.

Bekas pertahanan Perak ini mengikat kontrak dua tahun bersama Felcra pada Khamis lalu dan mempunyai perancangan mengambil kursus kejurulatihan lesen B dalam tempoh dia bersama kelab itu.

"Saya mengambil ini sebagai cabaran baru bersama Felcra menghadapi cabaran dalam saingan Liga Perdana," kata Shahrom.

"Felcra memiliki semangat yang tinggi beraksi buat pertama kali dalam Liga Perdana, saya akan berusaha untuk membantu mereka."

Sementara itu, Timbalan Presiden Felcra FC, Datuk Hazian Murad, tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi dalam penampilan sulung kelab itu dalam Liga Perdana.

Sasaran utama mereka adalah layak ke saingan Piala Malaysia musim depan.

"Kami tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk kali pertama beraksi dalam Liga Perdana. Tetapi kami mahu berusaha mendapatkan slot ke Piala Malaysia," kata Hazian.

Pihak pengurusan Felcra FC juga dalam proses untuk mendapatkan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang tempat sendirinya musim depan.