Pertahanan dari Croatia, Igor Cerina, menjadi pemain import terawal menandatangani kontrak untuk kekal beraksi bersama Sang Badak, musim depan.

Perkara itu disahkan Timbalan Presiden 1, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, ketika ditemui di Kota Kinabalu, semalam.

"Pihak SAFA memutuskan untuk menyambung kontrak beliau selama setahun lagi berdasarkan prestasi baik yang ditunjukkan pada musim lalu," katanya.

Difahamkan, tempoh kontrak pemain itu bermula 1 Disember 2016 sehingga tarikh sama tahun depan.

Walaupun beraksi sebagai pertahanan tengah, Igor mencuri tumpuan apabila meledak lapan gol pada musim lalu, sekali gus menjadikan beliau sebagai penjaring terbanyak Sang Badak bersama Maxsius Musa.

Sementara itu, Tawfiq berkata hanya pemain import yang benar-benar layak akan dipilih menyarung jersi Sabah, musim depan.

"Kita tidak mahu pemain yang hanya beraksi baik pada sesi pemilihan tapi bila perlawanan sebenar, mereka gagal mencapai prestasi diharapkan, malah ada yang mengalami kecederaan berpanjangan," katanya.

Pada awal musim lalu, Sabah mengikat empat pemain import, iaitu Igor, Dedi Kusnandar, Marco Tulio Lupes Silva dan Prince Nnake.

Bagaimanapun, dua daripada mereka, iaitu Nnake dan Marco Tulio digugurkan pada April dan digantikan dengan dua pemain import baharu, Muamer Salibasic dan Everton Souza Santos.

Bagaimanapun, nasib Dedi, Salibasic dan Everton masih belum diputuskan pihak pengurusan pasukan, namun dijangka ketiga-tiga mereka bakal disingkirkan untuk diganti pemain lebih baik