Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertekad mahu memanfaatkan sebaik-baiknya peluang yang diberikan selepas disahkan kekal beraksi dalam saingan Liga Perdana menggantikan DRB-Hicom musim depan.

Ia adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh pasukan itu untuk terus beraksi di pentas Liga Perdana musim 2017.

Menurut Setiausaha Persatuan Bola Sepak ATM, Muhammad Abdullah, mereka telah pun bersedia dari awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan seakan-akan tidak percaya peluang yang diharapkan itu tiba.

Namun, tiada sasaran tinggi diletakkan selain kekal dalam Liga Perdana dan beranggapan ia satu bonus jika dapat melayakkan diri kembali ke saingan Liga Super pada masa akan datang.

"Walaupun keputusan musim 2016 tidak memberangsangkan, kami akan terus bersedia untuk apa-apa kemungkinan untuk kekal dalam saingan Liga Perdana.

"Alhamdulilah, hari ini kami sudah mendapat surat rasmi daripada FMLLP (Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia) bahawa kami akan kekal dalam saingan Liga Perdana, jadi kami telah membuat persiapan sewajarnya," kata Muhammad ketika dihubungi Nadi Arena.

Setakat ini, ATM masih ingin menggunakan khidmat ketua jurulatih sedia ada, iaitu Aazhar Abdullah, dan dalam proses mempersiapkan pemain terbaik sebelum memulakan aksi tahun hadapan.

"Kami masih menggunakan jurulatih sedia dan akan ada tambahan dalam barisan jurulatihan.

"Kami juga akan mempersiapkan ATM dengan beberapa pemain-pemain luar," tambahnya.