Safee Sali sah sertai Perlis

Oleh Staff Writer 18 Disember 2018 1660
Safee Sali sah sertai Perlis
Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) mengesahkan pasukan itu telah mendapatkan khidmat bekas pemain pasukan PKNS FC, Safee Sali, bagi memantapkan skuad utama Perlis, musim depan.

Safee, yang juga merupakan penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010, menandatangani kontrak selama setahun yang disaksikan Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie.

Selain Safee, beberapa pemain lain seperti Khyril Muhymeen Zambri, Azmi Muslim, Azmizi Azmi, Amirizdwan Taj Tajuddin dan Badhri Radzi sah menyarung jersi Perlis bagi musim depan.

Dalam sidang media berasingan, Ahmad Amizal menjelaskan bahawa Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM),  Izham Ismail, telah mengeluarkan kenyataan media tentang isu tunggakan gaji pemain Perlis tanpa berbincang atau bertanya dengan pihak PFA terlebih dahulu.

"Mengapa beliau tidak menelefon atau meminta segala dokumen yang diperlukan daripada pihak kami sebelum beliau membuat kenyataan media?” soal beliau.

Ahmad Amizal berharap isu pembayaran gaji itu tidak diperbesarkan kerana pihak PFA sudah pun memberikan tarikh akhir pembayaran yang dipersetujui barisan pemain yang terlibat.

Sehubungan itu, beliau berharap agar setiap pihak dapat menghormati kata putus yang telah dicapai dan berbincang dengan pihak pengurusan jika terdapat hal berbangkit dan bukannya mengadu kepada media.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen