Roshadi harap Piala Cabaran diteruskan

Oleh Tengku Danish Bahri 7 Mei 2020 58
Roshadi harap Piala Cabaran diteruskan
Piala Cabaran juga wajar diteruskan, kata jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Roshadi Wahab, susulan pembatalan kejohanan itu dalam kalendar baru Liga Malaysia (Liga-M).

Menurut pengendali pasukan Liga Perdana itu, sekiranya hanya saingan liga dan Piala Malaysia disambung, ia memberi kesan kepada pasukan 'feeder' seperti TFC II.

Isu kekurangan aksi kompetitif akan berbangkit sambil Roshadi berharap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak meneruskan hasrat membatalkan Piala Cabaran.

Roshadi berkata dengan hanya satu pusingan liga dimainkan, baki tujuh sahaja perlawanan yang dapat dirasai barisan pemainnya sebelum Liga Perdana tamat.

"Sudah empat aksi liga berlangsung dan jika kembali bersambung pada 1 hingga 27 September depan, kami tiada perlawanan selepas itu.

"Pemain-pemain sekali lagi berdepan cuti panjang yang saya kira boleh melemahkan kualiti sebagai satu pasukan.

"Jadi saya harap MFL berusaha meneruskan Piala Cabaran, namun mereka lebih arif mengatur langkah demi kelangsungan bola sepak tanah air," katanya.

MFL sebelum ini bercadang untuk kembali meneruskan saingan Liga Super dan Liga Perdana dengan separuh liga pada September depan.

Dengan format baru juga, Piala Malaysia kemudian akan diadakan pada 17 Oktober hingga 7 November depan manakala Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.

Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen