PKNS rebut tiket ke Liga Super musim depan

Oleh Shaiful Shamsudin 21 Oktober 2016 9
PKNS rebut tiket ke Liga Super musim depan
KUALA LUMPUR 0 PKNS 2 

PKNS FC mengesahkan tempat dalam saingan Liga Super 2017 apabila meraih kemenangan ke-15 dalam aksi terakhir Liga Perdana dengan membenam Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Selayang malam ini.


Sang Semut Merah lebih awal menerima berita gembira sebelum memulakan aksi mereka apabila mendapat perkhabaran pesaing terdekat mereka, Johor Darul Ta'zim (JDT) II, sekadar seri tanpa jaringan dengan DRB-Hicom dalam perlawanan petang tadi. 

Justeru, PKNS akan mengiringi Melaka United untuk beraksi di peringkat tertinggi Liga Malaysia musim depan. 

Juan Manuel Cobelli menceriakan kem PKNS dengan meledakkan dua gol. Penyerang dari Argentina itu membuka tirai jaringan seawal minit pertama apabila menyudahkan hantaran Shahurain Abu Samah. 

Shahurain kemudian hampir mencetak namanya selaku penjaring, namun percubaannya sedikit melewati palang gol. 

Cobelli terus menjadi watak pemusnah ke atas skuad The City Boys dengan menanduk masuk umpanan Nazrin Syamsul Bahri pada minit ke-66 untuk mengukuhkan kedudukan mereka. 

Dalam perkembangan lain, ATM akan menemani Sime Darby ke Piala FAM musim depan susulan gagal mengatasi Perlis apabila tewas 3-2 di tempat sendiri. 

Satu lagi perlawanan terakhir Liga Perdana menemukan Melaka United dan Sime Darby akan berlangsung esok di Stadium Hang Jebat, Melaka. 

Lain-lain keputusan Liga Perdana: 

Kuantan FA 0 Negeri Sembilan 2  

Sabah 1 UiTM FC 2

ATM 2 Perlis 3

DRB-Hicom 0 JDT II 0

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen