Peter: Pendaftaran pemain perlu segera selesai

Oleh Willie Jude 11 Disember 2018 302
Peter: Pendaftaran pemain perlu segera selesai
Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) perlu segera mengurus pendaftaran pertama pemain atau berdepan risiko dibatalkan penyertaan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Datuk Peter Anthony berkata dengan tempoh hanya tinggal dua hari saja lagi, perkara itu perlu diselesaikan secepat mungkin dan mesti diputuskan dalam kongres luar biasa SAFA esok.

"Memang kami akui persiapan pasukan agak lewat berikutan beberapa masalah dihadapi sebelum ini tapi saya yakin kami akan dapat mengatasinya.

"Bagaimanapun, ia terpulang kepada kongres luar biasa yang akan diadakan oleh 26 ahli gabungan SAFA kerana antara isu utama bakal dibincangkan termasuk status saya sebagai peneraju persatuan ini serta pelantikan ketua jurulatih," katanya dalam sidang media sebelum mengadakan pertemuan dengan pemain skuad utama Sabah di pejabat SAFA di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Peter mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi SAFA, termasuk gaji pemain yang tertunggak selama kira-kira lima bulan, sekiranya beliau secara rasmi menerajui SAFA nanti.

"Tertunggak lima bulan bukan sesuatu yang baik, pemain juga mahu makan, mahu belanja keluarga bagi mereka yang sudah kahwin, dan oleh itu, jika semuanya berjalan lancar serta ahli gabungan bersetuju untuk saya menerajui persatuan ini, saya akan pastikan masalah ini diselesaikan.

"Hari ini juga saya mengadakan pertemuan dengan barisan pemain mengikut senarai yang telah dicadangkan pengendali sebelum ini, iaitu Jelius Ating.

"Saya harap kami akan mencapai persetujuan dengan pemain-pemain ini kerana kami tahu ada di kalangan mereka yang banyak mendapat tawaran daripada pasukan lain."

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen