Pemilihan terbuka Selangor United terima sambutan hangat 

Oleh Penulis Jemputan 4 November 2018 1712
Pemilihan terbuka Selangor United terima sambutan hangat 
Pendatang baru Liga Perdana, Selangor United, tidak terkejut apabila  lebih 300 pemain datang ke pemilihan skuad itu ekoran faktor penutupan banyak pasukan musim depan sebagai punca utama kenapa situasi itu boleh terjadi.

Presiden Selangor United, Mohd. Firdaus Mohamed, menjelaskan mereka mungkin hanya memerlukan 10 pemain baru, termasuk pemain import pada musim depan.

Bagaimanapun, kehadiran sejumlah pemain yang luar biasa, termasuk 40 antara mereka yang mempunyai pengalaman dalam Liga Super dan Liga Perdana, membuatkan Selangor United rambang mata dalam proses pemilihan ini.

Jelas Firdaus, beliau bersimpati dengan pemain-pemain terbabit ekoran banyak pasukan, terutama dalam Piala FAM, bakal ditutup musim depan.

"Saya difahamkan lambakan pemain akan berlaku pada musim 2019.

"Beberapa pasukan, termasuk dalam Piala FAM dan Liga Perdana, dijangka ditutup. Senario ini menyulitkan pemain utnuk beraksi dalam liga kompetitif ," katanya. 

Dalam hal berlainan, Firdaus mempertahankan sistem pemilihan terbuka yang diamalkan Selangor United.

Menurutnya, pasukannya mahu bersikap telus dalam soal pemilihan dengan memberikan ruang sama adil tanpa mengambil kira nama atau status pemain berkenaan.

"Dari dulu lagi kami bersikap telus dalam soal pemilihan pemain. 

"Tiada istilah seseorang pemain itu disarankan oleh ibu bapa atau ejen. 

"Jurulatih yang terlibat dalam proses pemilihan ini telah diarahkan bertindak secara telus agar bakat pemain tidak terpendam atau terbiar begitu sahaja," katanya lagi. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen