Misi Kuala Lumpur belum selesai, kata Nidzam Adzha

Oleh Muzaffar Musa 29 September 2020 395
Misi Kuala Lumpur belum selesai, kata Nidzam Adzha
Misi sebenar masih belum terlunas, kata ketua jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff, selepas pasukannya mengesahkan tempat ke Piala Malaysia selain Liga Super musim depan.

Bagi pengendali berusia 52 tahun itu, skuad The City Boys berkenaan masih perlu menamatkan penantian kejuaraan selepas kali terakhir menjulang trofi Liga Perdana pada 2017.

Berbaki dua perlawanan musim ini, Kuala Lumpur kini berada di tangga kedua Liga Perdana selepas mengumpulkan 20 mata, hanya tiga mata di belakang pendahulu, Pulau Pinang.

Sedar pasukannya masih berpeluang, Nidzam Adzha menggesa pemainnya untuk memberikan yang terbaik bagi mengelakkan keciciran mata dalam perlawanan menentang Perak II, Jumaat ini sebelum melengkapkan musim dengan menentang Kuching FA minggu depan.

"Kami masih mengharapkan kejuaraan itu. Apapun, kami akan mencuba untuk mendapatkan mata penuh dalam baki dua perlawanan," katanya kepada wartawan nadi Arena, Adam Zamri.

"Kita akan lihat di mana kedudukan kami nanti.

"Kami tidak melihat kepada Pulau Pinang kerana memang kami agak kerugian kehilangan mata di Stadium Bandaraya dua minggu lalu.

"Apapun, kami akan mencuba untuk mengutip enam mata ini dulu dan sekiranya ada rezeki, kami akan mendapat kedudukan yang terbaik," katanya.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Perak II, Nidzam Adzha menambah: Kalau dilihat kedudukan memang boleh dikatakan Perak II berada di kedudukan yang agak bawah tetapi apa yang saya lihat, pasukan itu juga sukar untuk dijinakkan.

"Minggu lalu, mereka meraih satu mata (menentang Johor Darul Ta'zim II) di Larkin, jadi kami tidak boleh mengambil mudah Perak II dan terus bekerja keras untuk mendapatkan tiga mata di sana."

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen