Pengarah Teknikal MISC-MIFA, K. Devan, mengakui kata-kata semangatnya sebelum perlawanan berjaya menyemarakkan semangat barisan pemainnya untuk merakamkan kemenangan ke atas PDRM dan secara tidak langsung memastikan mereka kekal dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Aksi malam tadi memerlukan MISC-MIFA mencapai kemenangan bagi menjarakkan kedudukan dengan dua lagi pasukan di tangga bawahan, Perlis dan ATM.

Bagi Devan, dia mengingatkan pemain bahawa mereka bermain demi masa depan mereka dan juga pasukan.

"Saya telah mengingatkan kepada pemain-pemain bahawa mereka perlu mempamerkan aksi
terbaik untuk memastikan masa depan untuk kelab ini. Saya berasakan mereka telah
menampilkan aksi yang terbaik untuk MIFA," kata Devan.

Dalam masa sama, aksi malam tadi juga adalah penampilan terakhir ketua pasukan, K. Nanthakumar, bersama kelab itu.

Bekas pemain tengah kebangsaan dan Perak itu juga menamatkan karier profesionalnya selepas aksi itu.

"Saya sangat gembira kerana telah beraksi bersama skuad negara dan beberapa pasukan negeri
lain. Selama 17 tahun bergelar sebagai pemain, ia merupakan pengakhiran yang terbaik dan
memastikan MIFA terus bersaing dalam Liga Perdana adalah satu kejayaan buat diri saya,"
katanya.