KUFC mahu pastikan semua selamat sebelum beri kebenaran

Oleh Farizal Yusoff 16 Jun 2020 73
KUFC mahu pastikan semua selamat sebelum beri kebenaran
Kelantan United FC (KUFC) mengambil pendekatan tidak mahu terburu-buru sambil memastikan semua faktor keselamatan sebelum membenarkan skuad Kijang Hijau itu turun menjalani latihan secara rasmi.

Setiausaha Eksekutif KUFC,  Wan Mohd Zul Ikman, menjelaskan pihaknya patuh dengan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan menjangkakan skuad kendalian Zahasmi Ismail itu boleh turun ke padang 26 Jun ini.

"Setakat ini, KUFC telah selesai melantik seorang pegawai penyelaras yang akan bertugas memastikan setiap sesi latihan yang dibuat mengikuti SOP.

"Selain itu, kami juga sedang dalam proses menjalinkan kerjasama dengan hospital kerajaan atau swasta bagi menjalankan ujian saringan kepada pegawai serta pemain.

"Kelab bersikap tegas dalam perkara ini bagi memastikan semua pihak mematuhi segala langkah ketat yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan pegawai dan pemain daripada ancaman Covid-19.

"Kami juga tidak terburu-buru, malah akan memastikan semua yang terlibat sihat selain persekitaran latihan juga dalam keadaan selamat sebelum surat kebenaran dikeluarkan," tegasnya.

Untuk rekod, Kerajaan Malaysia melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberikan kebenaran kepada pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia untuk mengadakan semula sesi latihan bermula semalam selepas hampir tiga bulan terhenti akibat pandemik Covid-19.

Kredit Foto: KUFC

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen