Kontrak baru De Paula masih jadi tanda tanya

Oleh Penulis Jemputan 16 Oktober 2017 2387
Kontrak baru De Paula masih jadi tanda tanya
Penyerang import Kuala Lumpur, Guilherme De Paula, mengakui masih belum menerima tawaran kontrak baru daripada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) walaupun sudah menyatakan hasrat untuk kekal bersama skuad warga kota itu musim depan.

Bekas pemain Selangor dan PDRM itu adalah tunjang utama Kuala Lumpur kerana sudah menjaringkan 29 gol dalam semua pertandingan Liga Malaysia musim ini.

Malah, penyerang itu turut memastikan skuad warga kota layak ke saingan Liga Super musim depan.

Bagi De Paula, dia gembira bersama Kuala Lumpur tetapi sebagai seorang pemain profesional, dia menyerahkan kepada pengurusan KLFA untuk menentukan kedudukannya dalam pasukan.

"Sehingga sekarang, tiada siapa yang datang berbincang dengan saya. Saya tidak menerima sebarang surat. Ia bergantung kepada keputusan jurulatih dan pengurusan.

"Saya hanya akan meneruskan tugas saya untuk satu lagi perlawanan. Saya akan memberikan yang terbaik untuk memenangi perlawanan ini. 

"Setahun saya berada di sini, saya bekerja bersungguh-sungguh dan saya mengenali pemain. Tetapi ini adalah bola sepak. Kalau tidak menerima tawaran, saya akan mencari jalan saya. Tiada masalah. Inilah bola sepak," katanya.  

Dalam pada itu, jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Magrao, mengakui De Paula adalah antara pemain yang ingin dikekalkannya untuk musim depan.

Oleh itu, Magrao mengharapkan pengurusan KLFA segera menawarkan kontrak baru buat pemain itu kerana sedar beberapa pasukan Liga Super lain turut berminat mendapatkan khidmatnya.

"Mereka tahu mereka perlu berbincang dengan De Paula, kami tidak mahu kehilangannya. Mereka tahu apa  yang dilakukan oleh De Paula dalam pasukan. 

"Saya tidak tahu kenapa mereka menangguhkan untuk mengikatnya. Apabila pemain menjadi penjaring terbanyak dan membantu pasukan naik, ramai yang berminat dengannya. 

"Saya tidak mahu kehilangan De Paula kerana saya tahu kualitinya. Kami akan bersedia untuk musim depan dengan mengekalkan tahap yang baik," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen