"Saya dibesarkan sewaktu zaman kegemilangan Singa Utara."

Demikian ujar penyerang Perlis, Khyril Muhymeen Zambri, yang berasakan pasukan barunya itu masih mempunyai aura di persada liga bola sepak tempatan.


Bekas tonggak utama Kedah itu menjelaskan dia banyak mendapat inspirasi ketika Perlis mennjadi kuasa besar bola sepak negara sekitar era 2000.

Perlis pernah menjuarai Piala Malaysia pada 2004 dan 2006 selain muncul juara Liga Super pada 2005.

Khyril teruja untuk mencipta semula kegemilangan itu walaupun mereka hanya bersaing dalam Liga Perdana musim depan.

"Suatu masa dulu, Perlis merupakan seteru utama Kedah dan mereka memiliki pasukan yang hebat.

"Apabila saya mula menjadi pemain bola sepak profesional, pasukan itu sudah mula jatuh merudum.

"Saya berharap musim baru ini akan menjadi pencetus kepada kebangkitan Perlis seperti waktu dulu," katanya

Dalam masa sama, Khyril berasa bertuah kerana bakal dikelilingi ramai rakan sepasukannya daripada PKNS FC seperti Safee Sali dan Azmizi Azmi.

Dia berharap kelebihan itu mampu menghasilkan persefahaman di atas padang selain dapat membimbing pemain muda pasukan itu.

"Kami membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak bersama PKNS.

"Selepas berbincang, kami memilih untuk bersama skuad Perlis musim depan," tambahnya.