Khidmat saya setakat ini sahaja -- Mat Zan Mat Aris

Oleh Staff Writer 23 Oktober 2016 2
Khidmat saya setakat ini sahaja -- Mat Zan Mat Aris

Meskipun melakar keputusan 1-1 dalam aksi terakhir berdepan Sime Darby, ketua jurulatih Melaka United, Mat Zan Mat Aris, tetap menganggap anak buahnya telah melakukan yang terbaik sehingga bergelar juara Liga Perdana musim ini.

Perlawanan terakhir itu menyaksikan pertembungan sengit di antara kedua dua pasukan di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Mat Zan, bagaimanapun, tetap memuji aksi barisan pemainnya kerana berjaya memastikan rekod tanpa kalah di laman sendiri kekal bersih.

Apa yang pasti, kegembiraan penyokong setia yang hadir menjadi keutamaan buatnya atas sokongan sepanjang musim ini.

"Saya rasa pemain agak tertekan dengan bilangan penyokong yang hadir dengan ramai.

"Apa yang penting, malam ini kami menjulang piala dan berkongsi kejayaan menjuarai Liga Perdana bersama penyokong," katanya.

Mat Zan yang memberi bayangan mungkin ini adalah khidmatnya yang terakhir bersama Melaka United, berharap pasukan itu akan terus cemerlang di pentas Liga Super musim depan. 

"Jika melihat daripada kenyataan yang dikeluarkan, ia lebih terarah kepada mereka memerlukan jurulatih yang baharu.

"Mungkin khidmat saya setakat ini sahaja," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen